2.1.Ulama yang berpendapat bahawa taadud jamaah (adalah) harus dengan beberapa syarat (sebenarnya) bagi meraikan suasana dan kenyataan (baca: realiti) taadud yang telah berlaku di negara-negara umat Islam. Sebagaimana yang disebut oleh Dr. Yusof Al-Qardawi :”Taadud jamaah ialah suatu fenomena yang difardhukan. Lenyapnya kefardhuan yang besar daripada kefardhuan Islam yang mewajibkan kewujudan fenomena ini. [Kefardhuan besar yang telah lenyap mungkin bermaksud kefardhuan pelaksanaan syariat Islam di peringkat kenegaraan dan pentadbiran -pemudaberani]

Apabila kita kembali ke zaman yang pertama Islam iaitu zaman kenabian yang suci dan zaman Khalifah Rasyidiin yang menghimpunkan seluruh Muslimin. Kita tidak mendapati melainkan satu jamaah sahaja di bawah kepimpinan yang satu iaitu jamaah muslimin di bawah kepimpinan yang satu bagi Rasulullah S.A.W. dan kepimpinan Khalifah Rasyidah yang satu sehingga lenyapnya Khilafah Rasyidah yang dibai’kan (faa’3il bagi ba’3 – yubayi3u – bai3a) dengan bai’ah syara’ daripada muslimin muka bumi ini. Maka ulama’ dua’t muslihiin lagi mukhlisin bangkit dengan dakwah untuk beramal kerana Islam. Oleh kerana itu, lahirnya jamaah yang berbilang-bilang……”(22)

Sudah tentu jamaah-jamaah yang wujud tidak sanggup untuk membubarkan jamaah mereka . Walaupun demikian, syarat-syarat yang dikemukakan perlu difahami dengan sejelasnya agar tidak dipergunakan untuk beralasan bagi mewujudkan jamaah yang baru. Mafhum daripada kenyataan-kenyataan ulama yang membenarkan taadud bersyarat, taadud jamaah tidak sewajarnya berlaku apabila syarat-syarat yang digariskan tidak terlaksana.

Syarat-syarat penting untuk membenarkan taadud ;

2.1.1. Syarat Pertama;
Taadud Takhasus dan berjenis (تعددتنوع وتخصص ) dan bukan taadud pertentangan dan perlawanan (تعدد تضادوتناقض).

Di dalam memahami syarat ini, kita perlu meneliti pada dua sudut :

Sudut Pertama ;

ini telah digunakan oleh Ibnu Taimiyyah di dalam kitabnya
اقتضاد الصراط المستقيم).

اختلاف التنوع وهو على وجوه منه ما يكون كل واحد من القولين او الفعلين حقا مشروعا
.
“iaitu perselisihan tanawu’ ialah perselisihan di atas beberapa sudut yang setiap daripada dua pendapat atau perbuatan itu berada di atas hak syara’ (kehendak syara’).” [23]

واما اختلاف التضاد فهو القولان المتنافيان اما فى الاصول واما فى الفروع عند الجمهور
.
“Iaitu perselisihan bertentangan (tudhod) ialah dua pendapat yang bertentangan samada pada usul atau pada cabang di sisi jumhur ulama.”

Lafaz ini digunakan pada (istilah) kekhilafan fekah dan usul. Penggunaan lafaz ini didalam amal Islami perlu diperjelaskan dengan teliti bagi menyelamatkan daripada kecelaruan tindakan dan perlaksanaan amal jamai. Ahli lughah menyebut bahawa تنوع صار انواعا iaitu menjadi berjenis-jenis. (نوع ) ialah setiap juzu’  daripada sesuatu dan setiap bahagian daripada setiap sesuatu.(24) Dan ia lebih khusus daripada lafaz (الجنس) yang merupakan asal . (الجنس) pada istilah ahli mantiq ialah apa yang menunjukkan ke atas umum daripada perkara yang berlainan daripada jenis-jenisnya.(25)

الجنس – طبقة فى التصنيف فوق النوع مباشرة فى عمومتها

ialah satu peringkat daripada pembahagian yang berada di atas jenis (النوع) secara langsung pada sudut umumnya.(26)

Al-Ustaz Fathi Yakan ditanya maksud taadud takhasus atau (تعدد تنوع) . Beliau menjawab bahawa
(تحافظ على الخصوصيات دون ارغام الا اذا ارادت المجموعة ان تنتقل من واقع الى واقع ).
“setiap kumpulan (jamaah) memelihara urusan-urusan khusus baginya tanpa menghina atau mengeji golongan lain melainkan apabila satu kumpulan (jamaah) itu mahu berpindah daripada satu kedudukan kepada kedudukan lain.”(27) Taadud takhasus pada jamaah ialah berbilang-bilang jamaah kerana perbezaan penekanan pada perkara tertentu atau lapisan masyarakat tertentu. Seperti satu jamaah hanya khusus pada aspek politik, satu jamaah yang khusus pada aspek tarbiyyah atau satu jamaah yang khusus pada peringkat pelajar atau sebagainya.

Taadud takhasus (khas) harus berlaku apabila tiadanya jamaah umum Apabila jamaah umum telah wujud, maka akan berlakunya pertembungan dan pertentangan pada matlamat-matlamat, manhaj dan sebagainya di antara jamaah umum dan jamaah takhasus, bila ketiadaan wala’ dan kerjasama. Pertentangan ini akan menyebabkan terabainya pengamalan arahan Allah dan tidak menepati syarat-syarat yang digariskan oleh ulama yang mengharuskan taadud.

Sudut Kedua;

Ciri-ciri jamaah umum dan jamaah takhasus perlu dibezakan dengan jelas agar setiap pecinta perjuangan Islam dapat memilih jamaah yang sebenar untuk diintima’kan.

Ciri-ciri jamaah umum (28) :

i. Bercirikan hizbullah yang disebut di dalam al-Quraan.(29)
Firman Allah Taala :
ياايها الذين ءامنوا من يرتد منكم عن دينه فسوف يأتى الله بقوم يحبهم ويحبونه أذلة على المؤمنين أعزة على الكافرين يجاهدون فى سبيل الله ولا يخافون لومة لائم ذلك فضل الله يؤتيه من يشاء والله واسع عليم . انما وليكم الله ورسوله والذين ءامنوا الذين يقيمون الصلاة ويؤتون الزكاة وهم راكعون . ومن يتول الله ورسوله والذين ءامنوا فان حزب الله هم الغالبون.
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman ! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan dia, mereka pula bersifat lemah-lembut tehadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut dengan celaan orang yang mencela. Yang demikian itu, adalah limpahan kurnia Allah yang diberikan kepada sesiapa yang dia kehendakinya, kerana Allah Maha kuasa limpah kurnianya lagi Maha meliputi pengetahuannya. Sesungguhnya Penolong kamu hanya Allah dan Rasulnya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat sedang mereka ruku’ (tunduk menjunjung perintah Allah. Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia) kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama Allah) itulah yang tetap menang.”
(surah al-Maidah : 54-56)

Firman Allah Taala ;
لا تجد قوما يؤمنون بالله واليوم الاخر يوادون من حاد الله ورسوله ولو كان ءاباءهم او اخوانهم او عشيرتهم أولئك كتب فى قلوبهم الايمان وايدهم بروح منه ويدخلهم جنت تجرى من تحتها الانهار خلدين فيها رضي الله عنهم ورضوا عنه أولئك حزب الله الا ان حزب الله هم المفلحون.
Maksudnya : ” Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tegamak berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasulnya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka atau keluarga mereka. Mereka yang setia itu Allah telah menetapkan iman di dalam hati mereka dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadanya dan dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka redha akan pemberian ni’matnya. Merekalah penyokong-penyokong ugama Allah. Ketahuilah sesungguhnya penyokong-penyokong ugama Allah itu ialah mereka yang berjaya.”
(surah al-Mujadalah : 22)

i. Ciri-ciri harakah Islamiyyah pada sudut mabda’ (prinsip).(30)
a) Rabaniyyah
b) Kesejatian.(ذاتية)
c) Terkehadapan (تقدمية)
d) Syumul.
e) Jauh daripada kedudukan-kedudukan khilaf fekah.

Jamaah umum ialah hizbullah yang disebut oleh al-Ustaz Said Hawa; (حزب الله على الكمال والتمام) “Hizbullah yang berada di atas kesempurnaan.” Iaitu apabila peribadi-peribadi yang membentuk teori yang sempurna pada sudut thaqafah, tarbiyyah, tanzim, harakah dan perancangan.(31) Hizbullah hanya satu sahaja tidak berbilang. Penubuhan jamaah takhasus yang tiada memberi wala’ dan ikatan kepada jamaah umum akan menyebabkan perpecahan dan pertentangan pada belbagai aspek. Sebagai contoh, jamaah umum telah menggariskan manhaj dan uslub tarbiyyah, tetapi diwaktu yang sama jamaah takhasus tarbiyyah akan menyusun manhaj dan uslub tabiyyah yang tersendiri dan terpisah yang akan mencetuskan pertembungan dan pertentangan. Ringkasnya, jamaah takhasus diharuskan wujud selama mana jamaah umum tiada supaya tidak berlaku pertentangan dan perpecahan.

2.1.2. Syarat Kedua :
Tolong-Menolong dan Bantu-Membantu di Atas Perkara yang disepakatkan.
Perkara-perkara yang disepakatkan kewajipannya oleh para ulama.

a) Memusnahkan jahiliyyah dan ideologi sesat.
ýFirman Allah Taala ;
أفحكم الجاهلية يبغون ومن أحسن من الله حكما لقوم يوقنون
Maksudnya : ” Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hakam jahiliyyah ? Padahal tiada sesiapa pun yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah bagi kaum yang yakin.”
(surah al-Maidah : 50)

Di antara ideologi sesat ialah sekularisme yang dipertahankan oleh kebanyakan parti-parti memerintah. Dr. Yusof Al-Qardawi telah menyebut : “Tetapi dimaklumi bahawa sekularisme telah menjadi istilah tertentu dan terbatas yang bererti pemisahan agama (ad-din) daripada negara, mencabut ad-din daripada kehidupan dan al-Quraan daripada kekuasaan. Ini adalah perkara yang ditolak kerana negara yang tiada Islam tidak akan diterima oleh Nuslim. Ad-din yang tiada negara tidak dikenali oleh Islam. Ia (Islam) berhajat kepada pemerintahan untuk melaksanakan pengajaran-pengajaran Islam dan menegakkan hududnya….“.(32) Di Malaysia, penilaian pada sudut keilmuan dan waqi’ membuktikan Barisan Nasional/UMNO bukan parti atau jamaah Islam bahkan parti sekularisme dan nasionalisme yang sesat dan jauh daripada kebenaran Islam. Penentuan ini sewajibnya menjadi salah satu perkara yang perlu disepakatkan oleh jamaah Islam di Malaysia dan seluruh dunia.

b) Amar ma’ruf dan nahi mungkar.

Di samping kemungkaran perjualan arak, perjudian, mu’amalat riba, gejala murtad, merampas harta rakyat dan sebagainya, ialah kemungkaran terbesar iaitu kesyirikan kepada Allah pada sudut perundangan dan kehakiman. Firman Allah ;
ان الشرك لظلم عظيم
Maksudnya : “Sesungguhnya kesyikiran itu adalah kezaliman yang paling besar.”

Kemungkaran kezaliman ini perlu dibasmi oleh jamaah Islam kerana membimbangi amaran Rasulullah dengan sabdanya ;
اذا رأيت أمتى تهاب ان تقول للظالم يا ظالم فقد تودع منهم
Maksudnya : Apabila engkau melihat umatku takut untuk berkata kepada orang zalim, Wahai orang yang zalim !, Maka diucapkan selamat tinggal daripada mereka .”
(riwayat Imam Ahmad bin Hambal)

c) Tegakkan negara Islam dan laksana Syariat Islam.

Banyak dalil-dalil al-Quraan, hadis, tabiat Islam dan pandangan-pandangan ulama yang menyatakan kewajipan mewujudkan negara Islam yang melaksanakan syariat Islam yang menyeluruh di atas dasar hidayah. Kewajipan ini tidak boleh dipertikaikan oleh muslim mukhlis, bahkan ia menjadi perkara yang diketahui daripada ugama dengan daruri (ma’lum minaddin biddhoruri). Dr. Yusof Al-Qardawi menyebut : ” Bagi pandangan saya, sesungguhnya wajib ke atas ahli agama Islam tidak membiarkan perkara-perkara politik kepada sekularis-sekularis, golongan komunis dan lain-lain yang membenci Islam atau jahil tentang Islam atau tidak memandang penting terhadap urusan muslimin. Sebenarnya, bahawa perkara politik daripada perkara penting. Di mana tidak sewajarnya ditinggalkan kepada mereka. Sedang di tangan mereka pedoman krisis pendidikan, media, thaqafah, perundangan dan seluruh aspek kehidupan yang meletakkan kefahaman-kefahaman, perasaan-perasaan, taklid-taklid dan sistem-sistem mereka (yang sesat itu).”(33)

d) Bersatu menghadapi kesatuan-kesatuan musuh Islam peringkat negara dan dunia.
Gerakan zionis, freemason, kristianisasi, gerakan (pelampau) hindu dan berbagai-bagai pertubuhan dunia yang mengancam umat Islam. Musuh Islam tempatan iaitu Barisan Nasional dan DAP pastinya tidak membenarkan pemerintahan Islam dan cita-cita PAS tercapai. [Catatan: penulisan ini berdasarkan realiti dan situasi tahun 1990an, yang banyak sudah berubah di Malaysia pada hari ini. Pendekatan semasa amat berbeza dengan kenyataan yang dibuat ini, namun kami beramanah memaparkan teks asal – pemudaberani]

e) Berjihad untuk meninggikan kalimah Allah.
Jihad yang paling afdhal ialah
افضل الجهاد كلمة حق عند سلطان جائر
Maksudnya :’Sebaik-baik jihad ialah ucapan yang banar di sisi pemerintah yang zalim.”
Ini diantara perkara yang disepakatkan oleh para ulama dan semestinya disepakatkan oleh jamaah-jamaah Islam. Kesepakatan ini tidak cukup dengan ungkapan persetujuan bersama tanpa bantuan dan pertolongan di antara satu sama lain. Oleh itu, Dr. Yusof Al-Qardawi telah menyebut; “Dari sini, adalah wajib ke atas setiap pendakwah Islam yang sedar untuk mengambil peringatan bagi memusatkan tempat-tempat kesepakatan sebelum setiap perkara. Dan mengangkat syiar tolong-menolong pada perkara yang disepakatkan ( Sesungguhnya tolong-menolong itu fardhu dan daruri. Fardhu yang diwajibkan oleh Islam dan daruri yang dimestikan oleh waqi’..”.(34) Tetapi betapa banyak jamaah sanggup melihat jamaah lain diganyah dan diserang serta bersendirian menghadapi musuh Islam dan mengemukakan isu-isu negara atau antarabangsa yang disepakatkan.

2.1.3. Syarat Ketiga ;
Tiada unsur-unsur perpecahan dan perbalahan.
Setiap jamaah hendaklah memiliki akhlak-akhlak di dalam fiqh khilaf sehingga tidak menimbulkan perselisihan dikeji. Dr. Yusof al-Qardawi telah menyebut bahawa perselisihan dikeji itu ialah ;(35)
a) Perkara yang disebabkan melampau dan mengikut hawa nafsu.
b) Perselisihan yang membawa kepada perpecahan kesatuan, permusuhan umat, perbalahan puak-puak
Kekhilafan fekah dan perkara ijtihadiyyah juga akan mendatangkan perselisihan mazmum, apabila ia membawa kepada perpecahan dan permusuhan. Ulama Islam dahulu sanggup meninggalkan pendapatnya dan mengamalkan pendapat ulama lain untuk menjaga kesatuan Islam. Al-Alamah Waliyyullah Dahlawi telah menceritakan ;” Bersama ini, setengah di kalangan mereka (ulama) bersembahyang dibelakang setengah ulama yang lain. Seperti yang berlaku bahawa Abu Hanifah Rahimahullah Taala dan sahabat-sahabatnya , Imam Shafei’ dan lain-lain rahimahumullah telah bersembahyang dibelakang imam-imam Madinah daripada Ulama malikiyyah dan lain-lain, meskipun mereka tidak membaca Bismillah dengan terang dan perlahan.”(36)

Pengamalan perkara khilaf fekah tidak memberi ruang mutlak kepada seorang itu melakukan apa sahaja berdasarkan kehendaknya sehingga melupakan kesan kepada umat dan Islam. Keluasan beramal dengan perkara ijtihadi hendaklah diikat di dalam ruang batas kasih sayang dan penyatuan.Penerimaan taadud mazhab hasil daripada kekhilafan perkara ijtihadi dan furu’ diterima oleh umat Islam selama mana menepati ciri-ciri yang disebut oleh Dr. Solah Sawi. Empat ciri-ciri yang wujud di dalam taadud mazhab.(37)
a) Kesatuan usul-usul dan mazhab-mazhab I’tiqadiyyah.
b) Terhad kekhilafan di dalam ruang lingkup cabang-cabang dan masalah-masalah Ijtihadiyyah.
c) Kekalnya kasih sayang, pemeliharaan daripada dosa dan berukhuwwah Islam.
d) Faedah tercapai daripada taadud ini dan membentuk keluasan kepada umat Islam.
Kewujudan taadud jamaah dengan beralasankan kekhilafan ijtihadi dan uslub membuahkan kesan perpecahan dan unsur-unsur perbalahan yang tiada penghujungnya. Negara Afghanistan yang telah merdeka daripada Soviet Union dan bonekanya terus dilanda perpecahan dan pertelingkahan yang tiada penyelesaiannya. Setiap jamaah tidak sanggup untuk menerima dan membiarkan jamaah Islam yang lain berkuasa dan memerintah Afghanistan. Perselisihan taadud jamaah Afghanistan (lah) yang membawa kepada penumpahan darah umat.(!)

Dr. Yusof Al-Qardawi mengitiraf penyakit perpecahan dan marah-memarahi ini dengan katanya ; “Dan di antara penyakit-penyakit harakah Islamiyyah masa kini ialah perpecahan dan perselisihan yang kita saksikan di antara golongan-golongan dan jamaah yang berbilang-bilang. Setiap jamaah berpendapat bahawa ia sahaja jamaah muslimin bukan jamaah daripada sebahagian muslimin. Kebenaran hanya berada padanya dan tiada pada jamaah lain melainkan kesesatan ……Di kalangan mereka tidak berkata demikian dengan lidah berbahasa, (tetapi) berkata dengan lidah keadaan (لسان الحال ). Dan seolah-olah permusuhan pecah-belah di lautan umat berpindah ke lautan harakah…..” (38)

Al-Ustaz Fathi Yakan berkata “Kalau taadud jamaah selamat daripada taasub, bertahktanya ruh ukhuwah di antara golongan-golongan tersebut, berlakunya suasana tolong-menolong, tafahum (faham-memahami) dan penyelarasan di antara mereka, maka itulah kehendak dan meringankan kesukaran, tetapi perkara yang berlaku sebaliknya sama sekali. Taadud tidak mendatangkan melainkan menambahkan perbalahan dan tidak menyebabkan melainkan tersebarnya kedengkian dan kebencian di antara muslimin yang akan menyibukkan mereka dengan bantah-membantah terhadap amalan…...”(39)

Siapakah yang hendak dipersalahkan dengan penyakit perpecahan yang berlaku pada lautan harakah ini ? Unsur-unsur permusuhan dan perpecahan menjadi suatu realiti yang tidak boleh dipertikaikan oleh insan berfikiran dan celik matanya melainkan mereka yang buta dan taasub dengan sikap dan pengamalan di dalam lautan kejahilan Unsur-unsur perpecahan ini timbul bersama kewujudan taadud jamaah yang tidak memenuhi syarat-syarat perlaksanaan taadud..

2.2. Ulama yang berpendapat bahawa taadud Jamaah tidak sewajarnya berlaku dengan berdalilkan nas-nas al-Quraan dan hadis yang menyeru kesatuan di bawah teduhan satu jamaah dan melarang perpecahan dan penilaian yang tepat terhadap fenomena dan realiti berpenyakit daripada taadud jamaah yang berlaku di seluruh dunia. Inilah pendapat yang lebih kuat berasaskan keputusan hukum berdalilkan firman Allah Taala ;

ولتكن منكم أمة يدعون الى الخير ويأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر واولئك هم المفلحون ولا تكونوا كالذين تفرقوا واختلفوا من بعد جاءهم البينات واولئك لهم عذاب عليم
Maksudnya : “Dan hendaklah ada di antara kamu satu kaum yang menyeru kapada kebajikan, menyuruh berbuat baik, dan mencegah kemungkaran. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang Yahudi dan nasrani yang telah bercerai berai dan berselisihan sesudah datang kepada kamu keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan mereka yang bersifat demikian akan beroleh azab seksa yang besar.”
(surah Ali Imran : 104-105)

Ulama-ulama muktabar seperti Al-Alamah Rasyid Ridha, Dr. Wahbah Zuhaili dan lain-lain menafsirkan ummah (امة) ialah (الجماعة) satu jamaah .

Sebahagian petikan daripada kertas kerja FENOMENA TAADUD JAMAAH : SATU PENILAIAN
Ustaz Mohd Nor bin Hamzah, (1990an)

Nota kaki:

[22] haula qodhoya al islam wal ‘asr – Dr Yusof Al-Qardawi m/s 18

[23]sila lihat huraian “fahmul islam fil usul ‘isyrin” -Ust Jumaah Amin m/s 141-142

[24]al qomus almuhit- m/s 6920

[25]almukjam alwasit m/s 140

[26]al mu’jam al’arabi al asasi  m/s 369

[27] adhwa’ attajarrubah anniyabiyah al islamiah fi lubnan,- Ust Fathi Yakan, kitab ketiga m/s 282

[28] Sila lihat tambahan Tuan Guru Hj Harun Taib Op. Cit. m/s 99-112

[29] Sila lihat tambahan Ust Said Hawa Op. Cit. m/s 29

[30] ma za yakni intimaa lil islam  m/s 113-116

[31] Sila lihat tambahan Ust Said Hawa Op. Cit. m/s 14

[32]Dr Yusof Al-Qardawi Op. Cit. m/s 149

[33] Ibid m/s 135

[34] Dr Yusof Al-Qardawi Op. Cit. m/s 149

[35] Ibid m/s 92-94

[36] HujjatulLah al Balighah, WaliyulLah al Dahlawi, Juzu’ pertama, m/s159

[37] Dr Solah Sawi  Op. Cit. m/s 236

[38] Ainal Kholal – Dr Yusof Al-Qardawi m/s 37-38

[39] Ust Fathi Yakan Op. Cit. m/s 24