ISMA menyatakan secara jelas bahawa Badan Bukan Kerajaan (BBK/NGO) ini tertegak dengan sendirinya atas kesedaran tentang perlunya untuk ‘Membina Generasi Harapan‘ atau slogan sebelumnya,’Membina Generasi Bertaqwa‘. Walaupun rata-rata ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menafikan NGO ini adalah serpihan atau pecahan daripada Jemaah Islah Malaysia (JIM), atau ada apa-apa perkaitan dengan Jemaah JIM, tersebar luas beberapa khabar angin yang bertiup kencang. Antara buah mulut yang dibawa adalah seperti berikut:-

  1. ISMA merupakan serpihan JIM yang sudah tidak wala'(taat setia) kepada JIM, lalu menubuhkan satu lagi jamaah di Malaysia mengikut acuan mereka sendiri.[1]
  2. Perhatikan: “..merupakan pembawa fahaman ISMA, pecahan aliran JIM.”[2]

    Kalau dikatakan ISMA itu pecahan atau serpihan daripada pendokong Jemaah Islah Malaysia (JIM) yang tidak berpuas hati dengan pembawaan pimpinan mereka sendiri, apa pula teori tentang sebab-sebab tidak puas hati tersebut?

    a. Mereka yang keluar JIM ini adalah kerana tidak setuju dengan pembawaan serta halatuju JIM, yang mana condong kearah PAS. Ditambah apabila bekas Presiden JIM, Saari Sungib menyarankan agar proses pilihanraya menjadi paksi dinamisme JIM. [3]

    b. Beberapa pimpinan telah mendapati Jemaah JIM telah lari dari paksi asalnya dan tidak betul-betul menjalankan pendidikan (tarbiyah) mengikut acuan Ikhwan Muslimin (Mesir) yang sebenar. Kerana itu ISMA telah ditubuhkan untuk menyambung semula tarbiyah Islamiyah mengikut acuan Ikhwan Muslimun di negara Malaysia.[Ini adalah kenyataan yang keluar daripada mulut seorang ahli ISMA; sumber lisan]

    c. Kepimpinan JIM adalah terdiri kebanyakkannya daripada golongan profesional dan teknokrat; doktor dan jurutera, yang mendapat pendidikan di negara barat seperti United Kingdom. Golongan aliran agama yang berpendidikan timur tengah seperti Mesir yang sebelumnya menggabungkan diri dalam JIM mendapati kepimpinan tersebut gagal membawa aspirasi Gerakan Islam seperti teori-teori tarbiyah yang dicanangkan oleh Ikhwan Muslimun. Lalu mereka yang mendapat tarbiyah timur tengah ini merasakan perlu ditubuhkan satu NGo baru untuk betul-betul membawa aspirasi Gerakan Islam secara tulen. [Ini adalah pendapat seorang pemerhati & pengkaji gerakan-gerakan Islam di Malaysia; sumber lisan]

  3. JIM dan ISMA pada asasnya adalah satu gerakan yang sama dan saling melengkapi antara satu sama lain; cuma JIM menzahirkan hubungan kukuh dengan pakatan pembangkang dalam iklim politik kepartian Malaysia (secara langsung terlibat dalam politik) manakala ISMA pula mengambil pendekatan non-partisan dan pro-kerajaan dalam gerak kerjanya. Hakikatnya kedua-duanya adalah di bawah naungan yang sama, iaitu yang disebut-sebut sebagai Ikhwan ‘Alami, satu gagasan yang telah ditarik balik oleh Ikhwan Muslimun sebenarnya. [Ini adalah pendapat satu Badan Penyelidikan Gerakan Islam; sumber lisan]
      a.  Kenyataan ini disokong oleh momokan seorang ahli ISMA yang mendakwa NGO ini sebenarnya berhubung terus dengan Ikhwan Muslimun di Mesir dan segala keputusan tertinggi adalah mendapat nasihat daripada Maktab Irsyad Ikhwan Muslimun di Mesir [sumber lisan]

      b.  Pemerhatian secara teliti pula mendapati segala prasarana dan kekuatan JIM seperti Kelab Rakan Islah Mahasiswa (KARISMA) dan Kelab Remaja JIM (KRJ), sekolah-sekolah kelolaannya seperti sekolah Islam di serata semenanjung Malaysia seperti Hira’ di Klang, Hidayah di Johor Bharu, Irsyad di kuantan dan lain-lain; adalah begitu erat sekali hubungannya dengan ISMA. Malah ada tenaga KRJ yang kemudiannya terlibat sebagai aktivis KRIM (kelab remaja ISMA) dan ramai sekali lepasan sekolah JIM menjadi pendokong kuat ISMA di segenap pelusuk dunia terutama sekali di Mesir.

  4. Jemaah Islah Malaysia (dahulu Jemaah Islam Malaysia) Jika mahu lebih jauh memahami sebab-sebab wujudnya ISMA, adalah lebih baik jika sejarah asal usul JIM itu sendiri dikaji dan diteliti. Kami tidak bercadang melanjutkan perbincangan tentang JIM di sini, namun sejarah dan latar belakang Jemaah Islah Malaysia, JIM boleh didapati pada link:

Kesimpulan yang dapat dibuat setakat ini adalah ISMA, JIM dan lain-lain gerakan seperti ABIM, HALUAN (pecahan ABIM utara) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mempunyai asal usul dan asas pemikiran yang sama, iaitu berdasarkan dasar dan idea yang dibawa Imam Hassan al-Banna, pengasas Ikhwan Muslimun. Mengapakah titik persamaan ini tidak dapat membawa mereka supaya bersatu padu menyusun gerakan di bawah satu barisan perjuangan yang mantap? Mengapakah mereka tidak dapat bersatu pada titk persamaan dan berlapang dada pada perselisihan pendapat antara mereka? Perkara ini adalah amat menyedihkan.

Mereka (pengasas dan pimpinan ISMA) telah melakukan kesalahan sama seperti yang telah kami (pemimpin JIM) lakukan sewaktu kami mengasaskan Jemaah baru (JIM) pada tahun 1990an dahulu” -seorang Pemimpin JIM yang kini Aktivis PAS [sumber lisan]

Benarkah ISMA pecahan daripada JIM? Benarkah ISMA hanya jamaah yang ditubuhkan atas sebab tidak puas hati? Adakah taadud jamaah benar-benar ditegah? Insyaallah kami akan cuba untuk menjawab persoalan-persoalan ini pada post yang akan datang. Mudah-mudahan Allah SWT membuka hati-hati mereka yang beriman serta memberi pertolongan kepada mereka yang ikhlas berjuang untuk agama Allah SWT.

Jika ingin tahu tentang ilmu pertukangan, tanyalah pada ahli tukang, jangan bertanya pada nelayan. Blog-blog pimpinan ISMA boleh didapati di sini.

Rujukan:

[1]http://amin1982.wordpress.com/2009/01/12/sertai-kelab-al-quds-malaysia/ [2]http://shamatun.blogspot.com/2009/03/jam-07-pagi.html

[3]Muhammad Syukri/PEMIKIRReradikal, April 2009.

[4]Risalah “Gerakan Islam – Satu Sejarah Dan Pengalaman” Selangor, 1989.

[5]Sejarah_jim_sepintas_lalu.pdf