i. Kewujudan Jamaah Umum.

PAS adalah jamaah umum di Malaysia berdasarkan ciri-ciri yang telah disebut. PAS adalah jamaah Islam yang pertama ditubuhkan pada tahun 1951M yang terus wujud sehingga sekarang di Malaysia. Kenyataan-kenyataan ini dapat dinilai dan diukur melalui perlembagaan PAS, kertas-kertas bertulis PAS dan amal-amal Islami yang dilakukan oleh PAS merangkumi semua aspek samada politik ekonomi, pendidikan/tarbiyyah, kemasyarakatan dan sebagainya yang merangkumi keterbukaan ahli kepada seluruh lapisan masyarakat Islam. [PAS seringkali ditohmah sebagai gerakan yang hanya bergiat dalam lapangan politik semata-mata, dan dituduh tidak mempunyai sistem tarbiyah yang mantap kerana mengabaikannya. Ini satu kenyataan berbaur jahat lagi hasad dengki -pemudaberani]

Tidak dapat dinafikan, PAS tidak terlepas daripada kesilapan dan kelemahan. Tetapi kesilapan dan kelemahan-kelemahan itu boleh diperbaiki dan dan diperbetulkan dengan baik, bukan menubuhkan jamaah baru. Bahkan jamaah-jamaah yang wujud selepas itu dengan rasa tidak puas hati tidak terlepas daripada kesilapan dan kekurangan. Yang pasti, jamaah lain daripada PAS ialah jamaah takhasus. ABIM iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia ialah wadah belia dan non partison.(42)

IRC atau Islamic Reresentative Council / jamaah Alami sebagai wadah tarbiyyah dan perislahan tarbiyyah. [IRC kini lebih menonjol dikeanli sebagai MSM, Majlis Syura Muslimun di UK, atau induknya di Malaysia dikenali sebagai Jemaah Islah (dulu Islam) Malaysia- pemudaberani]

HAMIM dan Berjasa ialah dua parti politik yang bekerjasama dengan PAS di dalam Angkatan Perpaduan Ummah untuk menghadapi Barisan Nasional.

ii. Berkompromi Dengan Barisan Nasional.

Mana-mana jamaah yang berkompromi dengan Barisan Nasional sehingga menggagalkan dan mengalahkan cita-cita dan matlamat Islam yang didokong oleh PAS merupakan satu kesilapan besar pada umat dan Islam. Tiada nas-nas syara’ dan pandangan ulama yang mengharuskan penyertaan di dalam UMNO/Barisan Nasional. Kesilapan kefahaman di dalam membezakan di antara BN/UMNO dan kerajaan menyebabkan kesilapan didalam memilih manhaj dan uslub perjuangan.

Jamaah Alami/ IRC dengan jelas untuk melibatkan diri dalam UMNO/BN. “Majlis Syura Jamaah (IRC/Alami) dengan penuh rasa tanggungjawab bersetuju ;

1. Membolehkan ahli melibatkan dalam UMNO dengan pendekatan yang ditentukan oleh jamaah sebagai salah satu langkah penglibatan politik kepartaian dalam strategi dakwah yang bersepadu….”(43)

Di dalam kenyataan yang lain, pimpinan IRC silap di dalam menilai UMNO dengan cara ilmiyyah dan realiti. Tersebut bahawa “Islam atas dasar kesedaran sendiri atau pertimbangan politik tidak pernah ditolak oleh UMNO. Malah Islam menduduki tempat yang tersendiri di kalangan anggota UMNO. Dengan kebangkitan Islam pula ia kembali menjadi agenda politik dan pemikiran orang UMNO.”(44)

Di dalam kertas kerja ini jelas membuktikan bahawa IRC /Alami sanggup bersama UMNO, walaupun bertembung dengan PAS.Pimpinan IRC/Alami memutuskan bahawa “kita juga berpandangan sudah sampai masanya untuk melibat dalam UMNO dengan matlamat kelompok Islam memimpin parti (UMNO) dan oleh itu, kerajaan,”(45)

ABIM di akhir-akhir ini sanggup bertembung dengan PAS untuk membantu UMNO/BN. [Akhir-akhir ini merujuk kepada zaman selepas kemasukan DS Anwar Ibrahim kedalam UMNO dan pendirian sebahagian pemimpin utama ABIM di akhir 1980an dan awal 1990an- pemudaberani]

ABIM telah dipergunakan oleh Biro Tatanegara untuk memotivasikan pelajar-pelajar dan pegawai kerajaan untuk menyokong UMNO/BN dan mempertikai dan memperlekehkan PAS. Orang-orang ABIM dengan berani menaiki pentas kempen UMNO/BN atau menjadi calon UMNO/BN untuk menghadapi PAS dalam pilihanraya.

“Perubahan uslub ABIM berlaku apabila Anuar Ibrahim iaitu (bekas) presiden ABIM mengisytiharkan dirinya menyertai UMNO/BN pada tahun 1982.Akibatnya ABIM terpecah dua -satu kumpulan menyokong tindakan Anuar Ibrahim dan satu lagi menentang. Mereka yang menentang kebanyakannya mengambil tindakan keluar daripada ABIM lalu menyertai PAS.”(46)

Menolong dan bersama UMNO/BN bererti menentang PAS. Inilah hakikat yang disebut oleh Dr. Yusof Al-Qardawi ;

“Sesungguhnya di antara perkara yang paling mengecewakan bahawa kita dapati setengah di kalangan ulama Islam atau setengah anggota jamaah-jamaah Islam tolong-menolong kadang-kadang bersama jamaah-jamaah sekularisme yang jelas kesekularismaannya untuk menentang pekerja-pekerja Islam daripada harakah-harakah atau jamaah-jamaah yang berlainan dengan mereka pada manhaj atau mauqif siasi (pendirian politik). Dengan itu, mereka telah menyanggah panduan-panduan al-Quraan atau sunnah, kata-kata ulama salaf umat Islam dan pengamalan mereka yang mendapat petunjuk dan soleh daripada pejuang-pejuang Islam di pelbagai zaman. Sesungguhnya kita dapati di dalam pertempuran pilihanraya, betapa ramai daripada orang-orang beragama dan melebalkan daripada setengah jamaah-jamaah Islam di negara-negara umat Islam memberikan suaranya (sokongan/undi) dan mewasiatkan kepada pengikut-pengikutnya supaya memberikan undi-undi mereka kepada pihak-pihak sekularisme yang menolak syariat Allah terang-terangan, mempersendakan para dua’t yang menyeru kepada syariat Islam dan memperlekehkan hudud Allah. Dia tidak menerima untuk memberikan undi-undi kepada muslimin yang beriltizam dengan dakwah kepada Islam pada sudut aqidah, syariat, mahnaj kehidupan kerana mereka berlainan dengan calon-colan (parti Islam) pada setengah-setengah pemikiran dan pandangan.”(47)

Kesilapan uslub dan manhaj ‘islah dari dalam‘ bukan sahaja bertentangan dengan nas-nas al-Quraan dan Sirah Nabawiyyah,bahkan bercanggah dengan logik. Bagaimana seorang yang mahu membersihkan tong najis dengan masuk ke dalam tong najis tersebut ? Bukan sahaja dia tidak mampu membersihkan tong tersebut tetapi dia akan berlumuran dengan najis sekularisme dan materialisme BN/UMNO.Jelas, uslub ini dilarang oleh Allah dengan firmannya ;

ولقد بعثنا فى كل أمة رسولا ان اعبدواالله وجتنبوا الطاغوت فمنهم منهدى الله ومنهم من حقت عليه الضلالة فسيروا فى الارض فانظروا كيف كان عاقبة المكذبين
Maksudnya : “Dan sesungguhnya kami telah utuskan pada tiap-tiap umat seorang Rasul, “hendaklah kamu menyembah Allah dan menjauhi taghut. Maka ada di antara mereka mendapat petunjuk dan ada yang terus tetap di atas kesesatan. Lantaran itu, berjalanlah di bumi ini, nescaya kamu akan melihat kesudahan orang-orang yang berdusta.”

(surah An;Nahl : 36)

iii. Terjerat dengan fikrah sesat dan batil.

[yang dimaksudkan dengan fikrah adalah jalan fikir dan pandangan umum atau tasawwur atau worldview; disebut disini fikrah mereka sesat dan batil tetapi akidah mereka adalah termasuk dalam perbahasan lain -pemudaberani]

Kebiasaannya, jamaah-jamaah yang terseleweng fikrah akan dipergunakan oleh musuh Islam untuk menghadapi jamaah Islam yang lain. Sebagai contoh, ketika Inggeris mahu menekan gerakan Islam yang teguh di Benua India yang dipimpin oleh Ahmad bin I’fan, telah mencipta gerakan Islam yang lain dan menyeleweng iaitu gerakan Qadiyaniyyah atau Ahmadiyyah(48)

Di Malaysia, Jamaah Tabligh yang diasaskan oleh Sheikh Muhammad Ilyas bin Sheikh Ismail Hanafi al-Jasyti al-Kandahlawi di Benua India telah bertapak dan menarik perhatian beberapa muslim Malaysia tanpa mengenali pengasas dan fikrah Jamaah Tabligh dengan jelas. Di antara pemikiran jamaah Tabligh ialah memisahkan politik daripada agama Islam. Tiada seorang pun di kalangan ahlinya berhak mengkaji di dalam politik atau mendalami di dalam perkara-perkara yang berkait dengan pemerintahan (49).

Ihtisyam Hassan iaitu adik ipar Muhammad Ilyas merupakan khalifah (pengganti Muhammad Ilyas) yang pertama dan pendokong khas. Beliau telah menghabiskan banyak masa daripada kehidupannya di dalam memimpin Jamaah Tabligh dan menemani Muhammad Ilyas,beliau pernah berkata ;

“Sesungguhnya dakwah (jamaah Tabligh) yang lahir daripada pusat Nizamuddin di Delhi mengikut keilmuan dan kefahaman saya tidak bertepatan dengan kitab Allah, sunnah Rasulullah, manhaj mujadid seribu yang kedua (abad ke dua selepas Hijrah.) Syah Waliyullah Ad-Dahlawi dan ulama-ulama muhaqiqiin ” (50).

Oleh sebab itu, kita melihat betapa ramai anggota jamaah Tabligh tidak menghiraukan siapa yang memerintah dan mentadbir negara. Kadang-kadang, kita menemui anggota jamaah Tabligh berkempen dan bekerja untuk UMNO/BN di masa pilihanraya umum. Pemikiran memisahkan politik dan Islam adalah bercanggah dengan Syara’ dan pandangan ulama muktabar. Jamaah Tabligh dan Jamaah Arqam menekankan kepada amal-amal kerohanian sebagaimana yang dikenali umum. Jamaah Arqam yang telah diharamkan oleh kerajaan Malaysia telah diketahui umum penyelewengannya di dalam mendokong Aurat Muhamadiyyah. Tiada jalan lain bagi ahli jamaah ini melainkan kembali kepada kesempurnaan Islam dan menintima’kan kepada jamaah Islam yang suci dan benar-benar memperjuangkan Islam. [Arqam kemudian bergerak di atas nama kumpulan Rufaqa’ dan kini kerap menggunakan gelaran Global Ikhwan -pemudaberani]

iv. Mencetuskan unsur-unsur perpecahan dan pemusuhan.

Unsur-unsur permusuhan dan perbalahan iaitu pulau-memulau, kata-mengata, tuduh-menuduh, tidak tegur sapa, rebut-merebut dan sebagainya yang membara api perpecahan berlaku pada realitinya, khususnya di pusat-pusat pengajian tinggi. Sering kali, wujudnnya satu jamaah menangguk ‘ikan segar’ daripada pukat jamaah lain.

Di dalam kertas kerja Jamaah Alami Mesir dari kalangan pelajar-pelajar Malaysia (mereka merencanakan) telah membuat dakwah fardiyyah untuk menarik siapa sahaja termasuk ahli PAS sebagai madu’ dakwahnya supaya menyertai Jamaah Alami:-

“Disini kita cuba mengenali secara yang lebih dekat tentang latar belakang pelajar-pelajar Mesir untuk memudahkan kita dalam menyampaikan dakwah ini.

i.a. Golongan Hizbi Islami.

Merupakan satu perkumpulan pelajar yang berpengaruh di kalangan mata umum. Dalam usaha mendapatkan pengikut baru, mereka menggunakan sentimen politik PAS. Walaupun bilangan mereka tidak ramai tetapi mereka mendapat sokongan dari kalangan ramai kerana kebanyakan pelajar yang datang sememangnya dari asal adalah penyokong PAS. Bersikap keras dengan orang berlainan pendapat dengannya. Tahap pembelajaran dan keilmuan mereka adalah sederhana. -Tidak mempunyai tanzim yang kemas dan bertumpu pada persatuan.

i.b. Golongan liberal.

Boleh dikatakan kebanyakan dari mereka adalah penyokong PAS tetapi tidak aktif, hanya sebagai penyokong. Golongan ini terdiri kepada beberapa kategori. Pendirian yang kabur dan mengikut pendapat ramai. Dalam beberapa hal bertentangan dengan golongan Hizbi sebagai tindak balas rasa perasingan. Tahap pembelajaran sederhana dan tidak mempunyai tanzim.”(51)

Kertas kerja ini bukan sahaja berunsur tuduhan dan tohmahan terhadap PAS dan ahlinya, bahkan berusaha menarik mereka yang telah menyertai PAS supaya menerima dakwah ‘Alami. Sikap ini membuktikan fenomena taadud akan menimbulkan kejijikan akhlak dan pertembungan di antara jamaah-jamaah.

Abu Hasan Firdaus menggambarkan fenomena ini dengan katanya “Dengan tertubuhnya ABIM -UK perpecahan di kalangan pelajar-pelajar Malaysia menjadi lebih buruk. Kini pelajar Malaysia di Britain berpecah kepada empat kumpulan besar aitu Tabligh, IRC, Suara Al-Islam dan ABIM, di samping wadah nasionalist UMNO-UK .(52)

Timbulnya unsur-unsur permusuhan ini menyebabkan jamaah itu akan menyalahkan jamaah ini atau ahli jamaah itu menyalahkan ahli jamaah ini. Yang pastinya, unsur-unsur tidak berakhlak ini timbul hasil daripada taadud jamaah. Jika semua umat Islam bersatu dan memberi wala’ kepada satu jamaah yang telah ada, nescaya fenomena keji ini tidak akan merebak dan membusuk.

v. Tidak Bersatu Menghadapi Isu-Isu Ummah.

Seluruh umat Islam mengetahui ketegasan PAS menghadapi isu-isu umat Islam. PAS keseorangan berhadapan dengan beratus-ratus isu penghinaan umat dan jenayah UMNO dan pimpinannya. ABIM, IRC/Alami, Jamaah Tabligh, ABIM Perlis dan lain-lain menyembunyikan diri dan dihantui perasaan pengecut untuk bersama PAS untuk menentang kemasukan pasukan kriket Yahudi, kes masjid Rawa di Pulau Pinang, perampasan harta/tanah rakyat, pembahagian kekayaan negara tidak adil, menolak hudud, pembunuhan 13 muslim di Memali dan lain-lain. [Alhamdulillah, zaman telah berubah dan kesemua gerakan yang di sebut -pada penelitian kami- kini sudah bersatu menghadapi isu-isu ummah di Malaysia, moga-moga kesatuan ini lebih kukuh dan lebih mantap lagi -pemudaberani]

(Jangan sampai) Jamaah-jamaah ini melupai nasihat Dr. Yusof Al-Qardawi:

“…..Dan mereka (jamaah-jamaah) berdiri di satu barisan pada isu-isu besar, isu kewujudan Islam dan pengembalian dan berperang di satu barisan menghadapi musuh musyrik seperti Yahudi, Solibiyyah (kristian), sosialisma dan sekularisma. Mereka hendaklah mengingati firman Allah Taala (53) ;

ان الله يحب الذين يقاتلون فى سبيله صفا كانهم بنين مرصوص
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamanya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

(surah As-Saf : 3)

Fenomena taadud (secara realitinya di lapangan) menunjukkan bahawa kewujudan taadud tidak menepati syarat-syarat yang digariskan oleh para ulama sehingga merugikan Islam dan umatnya.

“Taadud jamaah Islam yang wujud sekarang ialah taadud pertembungan bukan taadud kerjasama atau berbaik-baik atau tolong-menolong.” (54)

Sebahagian petikan daripada kertas kerja FENOMENA TAADUD JAMAAH : SATU PENILAIAN
Ustaz Mohd Nor bin Hamzah, (1990an)

Nota Kaki:

[42] Ayah Hasan Firdaus . Gerakan Islam -Satu Sejarah Dan pengalaman . m.s. 4

[43] Usul pendekatan terhadap UMNO 28/2/1990 m.s.1

[44] Ibid. m.s 5

[45] Ibid. m.s.6

[46] Ayah Hasan Firdaus. Op. Cit. m.s. 11

[47] Dr. Yusof A1-Qardawi Op. Cit. m.s. 198

[48] Op. Cit. Ustaz Fathi Yakan. M.S. 72

[49] Sila lihat .- Husein bin Muhsin Bin Alijabir. Op. Cit. m.s. 295-297

[51] Kertas Kerja Alami/IRC Mesir.Dakwah Fardiyyah: Uslub dan Perlaksanaan .m.s. 5

[52] Ayah Hasan Firdaus. Op. Cit. m.s. 9

[53] Dr. Yusof Al-Qardawi. Op. Cit. m.s. 40

[54] Ustaz Fathi Yakan. Op. Cit. Kitab Ketiga. m.s. 312