“Gerakan Islam – Satu Sejarah Dan Pengalaman”  Selangor, 1989

GERAKAN ISLAM

Apakah yang dimaksudkan dengan Gerakan Islam atau Harakah Islamiah ?
Sebelum itu kita cuba memahami dulu maksud perkataan jamaah. Menurut Hadith yang masyhur tiga orang yang bermusafir hendaklah melantik seorang amir atau ketua dari kalangan mereka. Dalam perkataan lain tiga (atau lebih) orang yang sedang bermusafir dikehendaki menubuhkan sebuah jamaah. Bagaimanapun jamaah ini bersifat sementara sebab sekembalinya musafirin tersebut ke tempat asal mereka jamaah pun dibubarkan.

Berdasarkan kepada pengertian ini setiap pertubuhan atau organisasi, sama ada berdaftar dengan Pejabat Pendaftaran atau tidak, adalah sebuah jamaah. Harakah (Gerakan) bolehlah ditakrifkan sebagai sebuah jamaah yang bergerak/bergiat/berjuang bagi mencapai matlamat yang lebih besar seperti menegakkan ideologi dan cara hidup dengan melibatkan massa atau orang ramai. Oleh itu satu golongan massa yang berjuang bagi menegakkan demokrasi contohnya adalah satu gerakan atau harakah, dan dipanggil Gerakan Demokrasi atau Harakah Demokrasi. Begitu juga dengan Gerakan Nasionalisme bagi menegakkan ideologi dan cara hidup yang berlandaskan perkauman, dan Gerakan Komunis bagi menegakkan sistem komunis, dan sebagainya.

Apa yang dinamakan Harakah Islamiah atau Gerakan Islam merupakan satu jamaah yang berjihad bagi menegakkan sistem hidup Islam (Nizomul Hayatul Islami). Tergolong dalam takrif ini termasuklah jamaah-jamaah Tabligh, Al-Arqam, ABIM, IRC dan PAS.

Harakah Islamiah Syumuliah pula adalah sebuah jamaah yang bermatlamat menegakkan Sistem Hidup Islam yang lengkap (komprehensif), lengkap dari segi keahlian (ulamak, intelek, profesional, petani, buruh, nelayan, dsb.) dan juzuk-juzuk kehidupan (siasah/politik, ekonomi, perundangan (syariat), ketenteraan, dakwah/tabligh, pendidikan (tarbiyah), dsb.) Oleh kerana kesemua ini hanya boleh dilaksanakan dengan tertegaknya sebuah Negara Islam atau Daulah Islamiah, keutamaan perjuangan diberikan kepada jihad dalam bidang siasah, dakwah dan tarbiyah, di samping tidak mengabaikan bidang-bidang lain. Matlamat perjuangan adalah untuk mengembalikan kekuasaan kepada orang-orang mukmin yang bertaqwa dan menyambung semula Khalifah Rashidah.

Di negara kita Harakah Islamiah terbesar dan paling berpengaruh yang menepati takrif ini hanyalah PAS. Di negara-negara lain harakah-harakah yang setanding adalah Ikhwanul Muslimin di Meslr, Jamaatul Islami di Pakistan, Partisi Refah di Turki. Kesemua jamaah ini terlibat di dalam pilihanraya bagi menegakkan Negara Islam, sungguhpun pilihanraya diyakini bukan jalan tunggal untuk mencapai matlamat. Di negara-negara lain yang tidak membenarkan Ummah Muslimin mengambil bahagian di dalam pilihanraya, ataupun negara berkenaan tiada pilihanraya, perjuangan mengambil bentuk jihad bersenjata dan/atau jihad bawah tanah. Contoh jihad bersenjata termasuklah Mujahidin Afghanistan, Mujahidin Patani, Mujahidin Eriteria dan Mujahidin Moro. Contoh jihad bawah tanah ialah Mujahidin di negara-negara komunis, Iraq dan Syria.

Apabila sahaja Negara Islam dapat ditegakkan Harakah Islamiah tidak lagi berfungsi seperti sebelumnya, dan sistem pemerintahan kini berpandu kepada pemerintahan Rasulullah (saw) dan Khalifah-Khalifah Rashidah, khasnya Khalifah Abu Bakr AlSiddiq, Omar Ibnul Khattab, Osman bin Affan, Ali bin Abi Talib dan Omar bin Abdulaziz, semoga Allah meredhai kesemuanya.

GERAKAN ISLAM DI UNITED KINGDOM

Kita mulakan pembicaraan dengan melihat kepada Gerakan Islam di United Kingdom.

Usaha dakwah di kalangan pelajar-pelajar Malaysia di United Kingdom sebenarnya bermula di Tanah Air sendiri iaitu di Institut Teknologi Kebangsaan (kini dinaikkan taraf kepada Universiti Teknologi Malaysia), sekitar hujung tahun 60’an dan awal 70’an. Sekumpulan pelajar, kebanyakannya pelajar-pelajar kejuruteraan, telah dilatih dan ditarbiyah (dididik) oleh seorang pensyarah pinjaman dari Institut Teknologi Bandung bernama Pak Imaduddin Abdul Rahim untuk menjadi kader-kader dakwah.

Pada awal tahun 70’an perjuangan Islam di Malaysia didukungi oleh dua kumpulan (jamaah/harakah) terbesar: Parti Islam Se Malaysia, PAS (wadah berpenekanan politik) dan Angkatan Belia Islam Malaysia, ABIM (wadah belia dan non-partisan). Bagaimanapun, hubungan antara keduanya adalah erat bak kata pepatah seperti isi dengan kuku, tiap satu memainkan peranan yang saling menguatkan perjuangan Islam (complimentary roles). Kader-kader dakwah ini merasa diri masing-masing berintima’ (bersama-sama) dengan ABIM dan PAS sekaligus. Oleh kerana medan perjuangan ABIM adalah di kalangan belia, usaha dakwah di kalangan pelajar dan siswa/i pada masa itu mempunyai hubungan hampir langsung dengan ABIM.

MELANJUTKAN PELAJARAN

Di awal tahun 70’an juga, Kementerian Pendidikan telah melaksanakan polisi menghantar seberapa ramai yang mungkin pelajar-pelajar Bumiputera untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di United Kingdom. Di antara yang merebut peluang ini termasuklah sebilangan besar kader-kader tersebut. Menerusi program ini mereka dapat mendaftarkan diri di berbagai-bagai universiti dan politeknik di United Kingdom (U.K.). Walaupun demikian, sebahagian besar daripada mereka bertumpu di kawasan Brighton (Selatan U.K.) dan Glasgow (Selatan Scotland). Semasa di U.K. pelajar-pelajar ini berpeluang meneruskan perjuangan Islam disebabkan di sana sudahpun wujud dua kumpulan dakwah besar tiap satu mempunyai hubungan dengan jamaah induk masing-masing di India dan Pakistan. Kumpulan-kumpulan ini adalah Jamaah Tabligh dan United Kingdom Islamic Mission, [cawangan Jamaatul Islami (Maududi), Pakistan].

PERPECAHAN

Pertemuan ini telah memberi pengalaman baru kepada kader-kader tersebut tetapi ada padahnya. Kumpulan yang sebelum itu merupakan satu ikatan yang padu dari segi fikrah dan tanzim telah terbelah dua – satu mengikut stail tabligh sementara satu lagi mengikut stail Jamaatul Islami yang juga menjadi manhaj harakah-harakah lain saperti PAS, ABIM dan Ikhwanul Muslimin, Mesir. Sudah menjadi resam perpecahan maka berlakulah tidak bertegur sapa, bermasam muka dan perbalahan antara kedua kumpulan tersebut di khalayak ramai. Perbalahan itu contohnya berlaku selepas solat Jumaat di mana pengikut Tabligh akan meminta orang ramai supaya tunggu untuk mendengar bayan (ceramah) dan ini ditentang oleh kumpulan satu lagi yang menganggap tindakan itu tidak syari’ kerana seolah-olah menghalang orang ramai daripada pulang ke rumah masing-masing setelah selesai solat Jumaat.

PENUBUHAN IRC

Lanjutan daripada itu timbullah kesedaran di kalangan beberapa orang daripada kader-kader untuk berusaha supaya kedua-kedua kumpulan bercantum semula. Usaha ini mengambil bentuk satu wadah atau platform yang dikenali sebagai Islamic Representative Council (IRC). Tepat dengan namanya, objektif utama IRC adalah untuk menjemput wakil-wakil daripada dua kumpulan tadi dan juga mereka yang mirip kepada Islam tetapi tidak menyertai mana-mana kumpulan untuk bersama-sama dalam satu majlis yang akan berusaha menyatupadukan semula pelajar-pelajar Islam. Maka diwujudkanlah usrah-usrah yang dianggotai oleh wakil-wakil tersebut.

Malangnya usaha yang murni itu gagal mencapai objektifnya – yang tabligh tetap tabligh, yang mirip kepada nasionalisme tetap dengan pegangannya sementara bakinya merubah corak IRC daripada satu platform semata-mata menjadi satu jamaah yang memiliki amir serta majlis syura dan tanzimnya sendiri. Bagaimanapun, IRC telah memilih jalan untuk menyembunyikan barisan kepimpinannya daripada pengetahuan dan penilaian ummah. Yang dapat dilihat oleh orang ramai hanyalah program-program dakwah dan rehlah. Peristiwa ini berlaku sekitar tahun 1975/1976.

SUARA AL-ISLAM

Belum sempat IRC merasai ketenangan, kepimpinannya mula bergolak. Beberapa orang kepimpinan telah keluar daripada IRC dan menubuhkan jamaah baru yang diberi nama Suara Al-Islam. Perbezaan antara keduanya hanyalah pada cara perjuangan hendak diteruskan. IRC ingin cara yang berteraskan tarbiyah sementara Suara Al-Islam memilih cara radikal dan revolusioner yakni dengan menimbulkan isu-isu penting dan asas di tengah-tengah masyarakat dan dengan itu program tarbiyah tidak menjadi isu utama. Bagi mereka tarbiyah adalah pertembungan langsung dengan kuasa-kuasa toghut di dalam masyarakat.

Bagaimanapun, beberapa tahun selepas itu kepimpinan serta ahli-ahli Suara Al-Islam memilih jalan yang wajar dan menepati syara’ untuk menyertai PAS sekembali mereka ke Malaysia. PAS memiliki ciri-ciri yang lebih lengkap yang merangkumi ciri-ciri perjuangan IRC dan Suara Al-Islam. Lagipun PAS merupakan harakah/jamaah tertua yang ditubuhkan oleh ummah Muslimin di Malaysia untuk berjuang bagi menegakkan Daulah Islamiah di negeri ini.

Satu babak penting dalam asam garam perjuangan Islam di Malaysia berlaku sekitar tahun 1976/77, iaitu apabila beberapa orang pemimpin dan ahli IRC kembali ke Tanah Air. Mereka bukan sahaja tidak mahu menyertai jamaah yang sedia ada iaitu ABIM-PAS, tetapi sudah mula mengkritik daripada luar kepimpinan perjuangan Islam masa itu. Kalau objektif asal IRC ditubuhkan adalah untuk menyatupadukan kumpulan-kumpulan yang berpecah di U.K., kini IRC (secara disedari ataupun tidak disedari ?) memainkan peranan sebaliknya iaitu untuk memecah dan melemahkan barisan perjuangan ummah yang telah bersatupadu seperti yang dituntut oleh Allah s.w.t. dalam surah As-Saff, ayat 4 :

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.”

JAMAAH BARU DI MALAYSIA

IRC telah memilih jalan yang sangat-sangat ditegah oleh Allah dan Rasulnya iaitu menubuhkan jamaah baru di Malaysia sungguhpun sudah wujud jamaah Islam. Allah (s.w.t.) telah melarang tindakan ini secara keras dan jelas di dalam Kitab Suci AlQuran:

“Dan berpegang teguhlah kepada tali (agama) Allah, dan jangan kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hatimu, lalu jadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara.” (Surah Ali Imran, Ayat 103)

“Sesungguhnya orang-orang yang memecah belahkan agamanya dan mereka menjadi bergolongan, tidak ada sedikitpun tangggungjawabmu terhadap mereka (mereka bukan daripada kamu – tafsir).” (Surah AlAn’am, Ayat 159)

Di samping itu terdapat juga banyak hadith Rasulullah (s.a.w.) yang melarang ummah daripada berpecah atau membuat jamaah baru:

Sabda Baginda yang bermaksud “Hendaklah kamu bersama-sama Jamaah Muslimin dan pimpinan mereka.”

Lagi sabda Baginda yang bermaksud, “Berjamaah itu rahmat dan berpecah belah itu azab.”

Pada masa yang sama kepimpinan ABIM dan IRC mengadakan rundingan bagi mencari jalan persefahaman demi untuk kebaikan perjuangan Islam. Maka satu persefahaman tidak resmi, atau tidak bertulis telah dicapai, iaitu ABIM tidak akan mengembangkan sayapnya ke United Kingdom dan sebagai balasan ahli-ahli dan kepimpinan IRC akan menyertai ABIM sekembalinya mereka ke Malaysia.

Sungguhpun ABIM telah menepati janjinya, sebahagian besar kepimpinan dan ahli IRC yang pulang ke Tanah Air tetap bertegas tidak mahu menyertai ABIM. Di antara tuduhan terhadap ABIM termasuklah matlamat perjuangan ABIM tidak jelas, tiada tarbiyah dll, meskipun aspek-aspek ini dapat diperbaiki dengan pernyertaan mereka ke dalam ABIM (jika benar IRC mempunyai matlamat yang jelas dan ada tarbiyah!). Lagipun tuduhan-tuduhan itu bukanlah hujjah-hujjah syara’ dan boleh dipertikai. Anihnya, ABIM yang memiliki beberapa lulusan Al-Azhar dari kalangan kepimpinannya, malah ada yang mendapat tarbiyah Ikhwanul Muslimun, diragui tentang kejelasan perjuangan mereka oleh kumpulan yang rata-rata berpendidikan bukan-agama, yang mempelajari Islam selama sejam atau dua jam seminggu sahaja !?

IRC mulai bergiat di Malaysia khasnya di kalangan pelajar-pelajar dan kakitangan-kakitangan akademik universiti. Seperti yang dijangkakan, berlakulah peristiwa-peristiwa pijak memijak kaki satu sama lain dengan ABIM. Kepimpinan pelajar yang mempunyai hubungan langsung dengan ABIM cuba diambil alih oleh IRC. Akibatnya ABIM tidak ada pilihan lain kecuali mengembangkan sayapnya ke United Kingdom sebab ABIM menghadapi keadaan buntu di mana keahliannya dari kalangan lulusan United Kingdom semakin merosot. Maka ditubuhkanlah ABIM-U.K. sekitar awal 80’an.

PELAJAR-PELAJAR MALAYSIA BERPECAH LAGI

Dengan tertubuhnya ABIM-U.K. perpecahan di kalangan pelajar-pelajar Malaysia menjadi lebih buruk. Kini pelajar-pelajar Malaysia di Britain berpecah kepada empat kvunpulan besar – Tabligh, IRC, Suara Al-Islam dan ABIM di samping wadah nasionalist UMNO-U.K.

Berlakulah kepada pejuang-pejuang Islam di rantau orang apa yang tidak berlaku kepada penjajah British sendiri semasa mereka di negeri kita, iaitu perebutan kuasa sesama sendiri bagi mencari pengaruh. Masing-masing menyediakan strategi bagi merampas pertubuhan-pertubuhan pelajar seperti “Islamic Society” dan “Malaysian Student Society” di hampir setiap institusi di mana terdapat pertubuhan-pertubuhan seperti itu. Contohnya, apabila diadakan Mesyuarat Agong Tahunan sesebuah pertubuhan maka ahli-ahli akan mengambil tempat masing-masing di dalam dewan mesyuarat – sebelah dewan diduduki oleh ahli-ahli IRC sementara sebelah lagi oleh ahli-ahli ABIM.

Berlakulah tikam lidah antara kedua-dua puak masing-masing cuba menegakkan kepentingan puaknya. Begitu juga dengan tempat penginapan. Satu tempat didiami oleh orang-orang IRC dan orang-orang ABIM pula mencari tempat lain. Apabila diadakan kenduri maka ahli-ahli kumpulan sahaja dijemput. Panduan perkahwinan seperti yang diajar oleh Rasulullah (s.a.w.) diubah daripada empat perkara (ugama, keturunan, kecantikan dan kekayaan) kepada lima dengan ditambah satu lagi syarat, iaitu bakal suami/isteri hendaklah menjadi ahli jamaah yang sama.

Jika direnung dengan tajam maka terasalah sedih dan malu terhadap apa yang berlaku. Islam adalah Ugama Suci, Ugama Benar, Ugama Tunggal Diridhai Allah tetapi malangnya “seolah-olah” ugama ini tidak mampu menyatupadukan satu kelompok umatnya yang kecil yang rata-rata terdiri daripada orang-orang yang boleh berfikir sendiri tanpa dipengaruhi oleh mereka yang berkepentingan. Yang sedihnya ini berlaku di rantau orang dan di negeri orang kafir pula. Sepatutnya orang-orang mukmin menunjukkan akhlak yang tinggi kepada orang-orang kafir sebagai contoh dan uswah hasanah supaya hati mereka dapat dijinakkan kepada Islam. Konsep ukhwah atau persaudaraan dalam Islam telah menjadi kabur, daripada menjadi sesuatu yang memisahkan antara iman dan kufur kepada sesuatu yang memisahkan satu jamaah Islam daripada jamaah Islam lain. Sebenarnya, Allah (swt) telah menganugerahkan kepada kita konsep ukhwah yang betul, iaitu seperti firmanNya:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah bersaudara … ” (Surah Al-Hujurat, Ayat 10)

bukannya “Sesungguhnya orang-orang IRC sahaja bersaudara” atau “Sesungguhnya orang-orang ABIM sahaja bersaudara,” atau sebagainya. Oleh itu berilah hak persaudaraan kepada setiap individu yang mengaku ia beriman kepada Allah dan Rasulnya. Allah (s.w.t.) telah menyatukan hati-hati orang-orang beriman dan menghapuskan permusuhan sesama mereka maka siapakah anda, dengan membuat jamaah baru, tergamak meletakkan hijab dan tembok antara individu-individu mujahid mukmin – yang satu mengikut anda sementara yang satu lagi mengikut jamaah yang sedia wujud ?

[Setelah diasak dengan begitu panjang sekali komen oleh yang berhormat Ust Annuar Salleh, YDP ISMA Hulu Langat, maka atas rasa hormat, penuh rendah diri,  kami tangguhkan semua poin sanggahan2 yang dikutip daripada tulisan beliau untuk dijadikan peluru tembak kembali. (“,).. Dengan penuh insaf, kami akan berusaha mengkaji kitab yang dicadangkan beliau supaya kami tidak kelihatan seperti ‘budak baru belajar’. Maka dengan itu untuk sementara waktu ini, kami kongsi dahulu sejarah gerakan Islam yang kami temui demikian.]