“Gerakan Islam – Satu Sejarah Dan Pengalaman” Selangor, 1989

ABIM BERGOLAK

Satu lagi peristiwa penting yang menggemparkan keutuhan perjuangan Islam di Malaysia berlaku pada tahun 1982 apabila Saudara Anuar Ibrahim, iaitu Presiden ABIM mengisytiharkan dirinya menyertai parti asobiyah, iaitu UMNO. Akibatnya ABIM terpecah dua – satu kumpulan menyokong tindakan Sdr. Anuar dan yang satu lagi menentang. Mereka yang menentang kebanyakannya mengambil tindakan keluar daripada ABIM lalu menyertai PAS. Maka ramailah pejuang-pejuang Islam termasuk dari kalangan pelajar berduyun-duyun mula menyertai PAS yang dipimpin oleh satu barisan kepimpinan baru yang dinamik, berani dan berwibawa.

IRC BUNTU

IRC di Malaysia pada masa itu menghadapi keadaan yang sangat buntu di mana mereka yang inginkan Islam memberi thiqah dan walak kepada kepimpinen PAS sementara kepimpinan IRC masih “bersembunyi”, tidak mengistiharkan siapa mereka. Oleh itu ummah tidak dapat menilai sejauh mana kepimpinannya berwibawa, apakah mereka itu berani berdepan dengan toghut ataupun tidak, ataupun mereka hanya berani menghentam toghut di dalam usrah dan tamrin tertutup saja yang dihadiri oleh orang-orang terpilih, apakah mereka benar-benar memiliki akhlak yang tinggi ataupun akhlak dan jamaah mereka lebih kepada indah khabar dari rupa. Apakah amir IRC seorang ulamak atau jurutera sahaja. Tahukah dia tentang selok belok ugama khasnya hukum-hukum feqah yang sememangnya menjadi pra-syarat kelayakan seseorang pemimpin Harakah Islamiah. Persoalan ini menjadi tandatanya kepada ummah supaya amir IRC dapat dipertanggungjawabkan di khalayak ramai terhadap setiap tindakan yang diputuskannya, sama ada sesuatu tindakan itu menepati syara’ atau tidak.

Sebaliknya barisan kepimpinan PAS kebanyakannya adalah dari kalangan ulamak yang berwibawa, bukan sahaja bijak dan berani menjelaskan isu-isu ultra-sensitif seperti isu kemurtadan, kristianisasi dan hak-hak istimewa orang Melayu tetapi juga berani dikenakan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) malah ada yang telah syahid di jalan Allah, contohnya Almarhum Ustaz Ibrahim Mahmud bersama 13 orang sahabat di Memali (semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh-roh Syuhada’ Memali).

STRATEGI BARU

Keadaan kebuntuan tersebut telah menyebabkan IRC merubah strateginya sekitar tahun 1982. Maka disusunlah satu strategi atau “grand design” terhadap ABIM dan PAS, lalu diperkenalkan konsep Harakah Islamiah Syumuliah, HIS [Takrif HIS IRC adalah tidak sama dengan HIS yang diterangkan sebelumnyaj. Dalam rangkakerja HIS IRC, ABIM dan PAS hendak dijadikan “wajah-wajah” jamaah (wujuuhul jamaah) IRC semata-mata. Dalam istilah politik moden, strategi ini akan menjadikan ABIM dan PAS sebagai gerakan-gerakan depan (front organisations) semata-mata dan kepimpinan ABIM dan PAS sebagai boneka-boneka (maaf kasar sedikit di sini) yang hanya boleh bertindak menurut arahan kepimpinan IRC. Oleh itu kekuasaan sebenar berada dalam tangan amir IRC bukan amir ABIM atau PAS.
Menurut strategi ini orang-orang tertentu IRC yang mampu mendapat pengaruh akan dihantar bertugas hampir sepenuh masa di dalam PAS dan ABIM. Mereka akan memainkan peranan untuk mewujudkan satu suasana jamaah-dalam-jamaah di mana jamaah baru ini akan terdiri daripada mereka yang memiliki fikrah IRC dan berwalak kepada IRC. Kumpulan ini akan memainkan peranan bagi melaksanakan strategi HIS untuk IRC. Paling kurang hasil yang diharapkan dari kumpulan ini ialah mereka akan bersikap lembut terhadap IRC.

Menerusi strategi baru ini IRC telah dapat meyakinkan kepimpinan PAS tentang niat ikhlas (?) mereka untuk bersama membantu PAS khasnya dalam program-program tarbiyah. Lujnah tarbiyah PAS pusat telah menjemput dua orang ahli majlis syura IRC untuk bersama-sama dalam lujnah tersebut. Serentak dengan itu hampir keseluruhan program tarbiyah PAS, termasuk di institusi-institusi pengajian tinggi, diserahkan kepada ahli-ahli IRC untuk dikendalikan.

HARAP PAGAR PAGAR MAKAN PADI

Malangnya IRC telah mengingkari janjinya dan bertindak bak kata pepatah “harap pagar pagar makan padi”. Tujuan sebenar mereka menyertai PAS mulai terbongkar. IRC bukan sekadar mengendali program tarbiyah PAS tetapi juga dikumpulkannya secara rahsia ahli-ahli PAS yang berpotensi (yang bakal menjadi pemimpin) dan mereka dibawa keluar daripada PAS untuk menyertai jamaah sulit mereka IRC. Lunas-lunas akhlak Islam telah tidak diikuti oleh kepimpinan IRC. Apabila tembelang IRC diketahui oleh pucuk pimpinan PAS mereka telah diberi kata-dua dan diminta supaya membuat pilihan, iaitu sama ada kekal di dalam PAS dengan meninggalkan IRC ataupun berhenti terus daripada mengkhianati PAS. Sungguhpun begitu sebagai mematuhi syariat berjamaah tiada seorang pun ahli IRC dipecat daripada jamaah PAS. Lanjutan daripada itu program-program dakwah yang ada kaitan dengan PAS khasnya di pusat-pusat pengajian tinggi berpecah kepada dua: satu kumpulan yang jauh lebih ramai kekal bersama PAS sementara yang satu lagi menyertai IRC.

Tindakan IRC selanjutnya jelas menunjukkan strateginya terhadap PAS masih diteruskan sebab meskipun sebahagian besar ahli IRC telah berundur daripada PAS masih ada beberapa individu yang berpangaruh kekal di dalam PAS. Kehadiran mereka bukan disebabkan mereka telah mufaraqah (istihar keluar) daripada IRC tetapi atas arahan kepimpinan IRC sendiri – mereka tidak pernah mengistiharkan diri mereka keluar daripada IRC, malah hubungan mereka dalam bentuk usrah-usrah sulit (rahsia) masih diteruskan.

Perlu ditekankan di sini semasa kepimpinan IRC berulang-ulang menemui kepimpinan PAS (sebelum perpecahan berlaku) mereka telah mengisyhtiharkan bahawa IRC tidak wujud di Malaysia, yang ada hanya bekas ahli-ahli IRC. Oleh sebab itu kepimpinan PAS tidak menimbulkan soalan siapakah amir mereka atau siapakah ahli-ahli majlis syura mereka. Malah sebahagian besar pengikut-pengikut IRC sendiri termasuk dari kalangan siswa/siswi tidak diberi maklumat tepat atau tidak diberitahu langsung tentang siapakah barisan kepimpinan jamaah yang mereka sedang ikuti. Sebenarnya IRC mengamalkan sistem pengkelasan dalam keahliannya. Daripada empat peringkat hanya peringkat tertinggi diberi hak mengetahui dengan tepat struktur dan kepimpinan jamaah.

PERJUANGAN DI LUAR MALAYSIA

Sekarang kita kembali kepada masalah dakwah di kalangan pelajar. Semasa PAS mempercayai IRC telah bersatu dengannya tiada usaha dijalankan di luar negeri, sama ada di United Kingdom, Amerika Syarikat atau Timur Tengah untuk menubuhkan cawangannya di sana sebab peranan ini dimainkan oleh IRC di U.K. dan MISG (dikuasai oleh IRC setelah dirampas dari ABIM yang menubuhkannya) di Amerika. Akan tetapi, dalam keadaan sekarang adalah mustahil PAS dapat mengharapkan mereka yang menerima tarbiyah IRC di luar negeri pulang untuk menyertai PAS.

Alhamdulillah, kepimpinan PAS sedang mengambil langkah-langkah tertentu supaya pelajar-pelajar di seberang laut dapat menyertai perjuangan PAS, insyaAllah. Oleh itu sekarang sudah wujud sayap-sayap PAS (secara tidak rasmi) dl luar negeri termasuklah di U.K., USA dan Timur Tengah.

WAHAI MUJAHID ILALLAH

Akhir kata, jadilah anda tentera-tentera dan srikandi-srikandi Allah yang sentiasa peka kepada perpaduan ummah dan cita-cita perjuangan mereka. Jauhkan diri daripada tindakan-tindakan negatif yang membawa keretakan dan perpecahan pada saff para mujahidin ila Allah. Sebab ummah mukminin adalah ummah yang satu. Seruan dan perintah Allah dan RasulNya adalah jelas iaitu semua orang-orang beriman hendaklah bersatu dalam satu jamaah. Oleh itu jika anda terdengar seruan dan ajakan yang sebaliknya maka pastilah ianya bukan dari ajaran Allah dan RasulNya tetapi ajaran orang-orang yang tidak betul yang sanggup mengkhianati dan melemahkan perjuangan ummah yang sedang berjihad menegakkan kembali Ugama Yang Suci, meskipun mereka mendakwa diri mereka sebagai pejuang-pejuang yang berakhlak meninggi langit. Lagipun orang yang berakhlak tinggi sifatnya tidak sekali-kali suka menceritakan tentang kebaikan dirinya kepada orang lain, jauh sekali daripada menjaja ke sana sini memberitahu orang betapa akhlaknyalah yang terbaik.

Dalam keadaan apa sekali pun jangan berganjak walaupun seinci daripada manhaj perjuangan orang-orang beriman, iaitu : “Alghaayah laa tubarrirul wasilah.” maknanya “Matlamat tidak boleh membersihkan (menghalalkan) cara. ”
Maksudnya, jika matlamat sesuatu tindakan itu adalah baik untuk mencari keridhaan Allah (s.w.t.) maka cara yang diambil bagi mencapai matlamat itu juga hendaklah syar’i atau diridhai Allah.

Oleh itu jika menubuhkan jamaah baru setelah sudah wujud jamaah Islam adalah haram di sisi Allah (lantaran ia memecah belahkan ummah) maka anda hendaklah yakin ianya adalah haram; atas alasan apa pun jangan sekali-kali terlibat di dalam penubuhannya ataupun menyokongnya. Ataupun jika berbohong dan menipu sesama mukmin itu adalah haram menurut Allah dan Rasulnya maka jangan sekali-kali menjadikan sifat-sifat dayus ini sebagai bahan tarbiyah dan senjata perjuangan. Dan lagi jika bekerjasama dengan musuh-musuh Allah bagi menjatuhkan kumpulan Islam adalah sangat-sangat dilarang oleh Allah dan RasulNya maka anda hendaklah yakin orang yang terlibat tidak langsung layak memimpin ummah meskipun beliau seorang lulusan ugama. Sebab apakah anda tidak hairan Ugama Islam yang Suci ini dapat ditegakkan dengan cara-cara yang bathil seperti ini ?!!.

Dalam satu riwayat Imam Syafie rahimahullah dikatakan tidak tidur malam kerana memikirkan masalah ummah termasuk masalah perpecahan ummah di zamannya meskipun institusi khalifah masih berjalan dan syariat Islam masih tertegak. Sekarang sisem khalifah sudah tiada lagi dan syariat Islam sudah lama tumbang, maka ummah sangat-sangat memerlukan lebih ramai orang memikirkan masalah perpecahan dan bagaimana penyelesaian dapat dicapai. Ummah sudah bosan dengan sikap negatif kumpulan yang sengaja mencari-cari kelemahan pejuang-pejuang sejati serta suka menimbulkan keraguan terhadap kepimpinan mereka.

RUMUSAN

Beberapa rumusan penting boleh dikutip daripada huraian sejarah ringkas Gerakan Islam di Malaysia:

1. Penubuhan jamaah-jamaah baru khasnya IRC bukan didasarkan kepada tuntutan syara’ dan ia lebih banyak mendatangkan mudharat daripada menafaat kepada kejayaan perjuangan Islam di Malaysia kerana terlalu banyak masa, tenaga dan wang dihabiskan lantaran pergeseran sesama pejuang-pejuang Islam

2. Hadith Rasulullah (saw), “Berjamaah itu rahmat dan berpecah belah itu azab” adalah tepat sekali. Dulu pejuang-pejuang Islam bersatu padu dan ummah melihat pertentangan di dalam masyarakat hanya antara kumpulan Islam dengan kumpulan yang tak nak Islam (iaitu gabungan antara orang fasiq, munafiq dan kafir) tetapi kini terlalu banyak hijab dan tembok ditegakkan di tengah-tengah para mujahidin ila Allah yang menjadikan mereka seperti orang-orang asing (strangers) dan musuh (enemies) sesama mereka. Sudah terlalu ramai pejuang yang dulunya bersahabat karib kini menjadi musuh ketat.

3. Setiap mukmin hendaklah berjihad bagi menyatupadukan kembali ummah dengan tidak menyokong atau menyertai jamaah-jamaah baru. Jika ada pemimpin atau anggota jamaah baru yang merasai dirinya lebih layak memimpin ummah (sebab akhlaknya lebih baik, jelas manhaj dan matlamat perjuangannya, dll) maka tinggalkanlah jamaah baru itu dan sertailah jamaah tertua PAS dan jika benar seperti yang dirasai sudah tentu ummah akan memilihnya untuk memimpin mereka.

[Seperti yang telah diungkap kerana komen oleh yang disegani Ust Annuar Salleh, YDP ISMA Hulu Langat, maka atas rasa hormat, penuh rendah diri, kami tangguhkan semua poin sanggahan2 yang dikutip daripada tulisan beliau untuk dijadikan peluru tembak kembali. (“,).. Kami akan berusaha mencari analogi lain yang tidak berkait dengan ibadah khusus, moga2 beliau tidak terkeliru. Serentak dengan itu juga, kami diilhami untuk mengkaji berkaitan Sejarah Masjid Dhirar –yang ini betul2 untuk Qias– yang bukan ibadah khusus; supaya jelas mana satu kiasan, mana satu qiasan!_! Nantikan ya hasil kajian… !]