Sudah sekian lama kami memerhatikan perkembangan slogan “Melayu Sepakat, Islam Berdaulat”. Mengetahui bahawa ISMA adalah satu NGO berteraskan Islam dan Tarbiyah Ikhwan Muslimin, maka pada permulaannya tidak dapat tidak untuk kita berlapang dada dan bersangka baik dengan pendekatan ini. Namun pengakhirannya mengecewakan lagi mengasihankan ; setelah meneliti isi kandungan dan pemikiran yang lahir daripada slogan ini, kami rasa terpanggil untuk mengemukakan beberapa kritikan. Harap jangan melenting.

Mengapa perlu dijadikan Slogan?

Slogan ini lahir dengan latar belakang pilihanraya umum Malaysia 2008 yang menyaksikan kejayaan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan di lima negeri dan menafikan dua pertiga majoriti Barisan Nasional di parlimen. Faktor utama perkembangan ini dilihat kerana sokongan padu masyarakat bukan Islam kepada Pakatan Rakyat.

UMNO melihat perkembangan ini sebagai tergugatnya ‘ketuanan Melayu’ dan bersatunya orang non-Melayu menentang kepimpinan Melayu.

PAS melihat perkembangan ini sebagai tsunami kesedaran politik rakyat Malaysia, dan kejayaan memecah tembok ketakutan orang non-Muslim kepada perjuangan PAS.

Kesan daripada prestasi terburuk BN tersebut, UMNO melenting dan mula mengatur strategi untuk mengembalikan sokongan kepada BN; agenda survival politik Melayu di Malaysia dimomokkan; isu2 keagamaan dan perkauman bertiup kencang. Media dan Institusi kerajaan Pusat digunakan sepenuhnya untuk kempen politik UMNO tersebut.

PERKASA lahir akibat sentimen merasakan hak keistimewaan Melayu sudah tergugat.

Bagi kami, Melayu Sepakat Islam Berdaulat lahir tidak lebih hanya akibat sentimen merasakan Islam sudah tergugat; terpengaruh dengan kempen politik UMNO.

Bagi mereka yang celik politik, isu-isu keagamaan dan perkauman yang timbul selepas daripada Mac 2008 disedari telah dijadikan modal politik murahan UMNO untuk menaikkan sentimen agama dan perkauman terutama di kalangan orang Melayu. Realitinya, yang tergugat adalah KETUANAN UMNO dan bukan ketuanan Melayu mahupun ketuanan Islam, malah ramai melihat konfontrasi kaum (yakni Melayu melihat Cina/ India sebagai ancaman dan Non Melayu pula melihat Melayu sebagai ancaman) telah serba sedikit dapat dikendurkan dan digantikan dengan integrasi.

Sayang seribu kali sayang, ISMA sebagai NGO yang non-partisan dan memang tidak celik politik dengan mudah terpengaruh dengan Utusan Malaysia dan TV3 sehingga serba sedikit dikotori sentimen Melayu tergugat, Islam tergugat, Melayu mesti bersatu!

Kami pasti di peringkat ini pasti ramai yang akan berkata ‘Cis, mesti lihat dari kaca mata politik kepartian. ISMA mana main politik kepartian –hizbiyah- politik kami mengatasi kepartian. Kami hanya mahu bela kepentingan Islam!’

Jawapan kami; jika demikian mengapa MSIB perlu dislogankan dan dilaung2kan sehingga tenggelam slogan Membina Generasi Harapan?

Sebelum ini disebut2 fokus gerakan Islam mesti tarbiyah dan dakwah, dan menyibukkan diri dengan politik hanya merugikan tenaga dan masa ummah. Apakah pendekatan  tarbiyah kini diletak sama status dengan pendekatan politik ie, menyepakatkan Melayu?

Juga disebut berbilang2 kelompok/persatuan dan perbezaan pendapat itu tidak semestinya membawa perpecahan. Maka apakah begitu teruk perpecahan politik Melayu sehingga perlu diperjuangkan ‘Melayu Sepakat’ sebagai satu slogan?

Ingin kami pertegaskan, semua pihak berhak untuk menyuarakan pendapat, dan ISMA sangat dialu2kan untuk turut terlibat dalam lapangan politik bahkan berkewajipan, dan teguran serta kritikan membina terhadap parti Islam dan Melayu seharusnya dipandang baik, namun mengapa perlu sehingga dijadikan slogan dan dasar pendekatan semasa ‘Melayu Sepakat’?

Apakah yang dikehendaki?

Kekeliruan Yg Ditimbulkan ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’

Pemerhatian kami mendapati banyak kekeliruan yang timbul kesan kemunculan Melayu Sepakat Islam Berdaulat:-

  • Kelompok orang Melayu adalah penerima awal agama Islam di Tanah Melayu, dan mereka merupakan majoriti Muslim maka sewajarnya mereka menjadi fokus dakwah –Jika demikian slogan yang lebih tepat adalah ‘Melayu Didahulukan, Islam Diutamakan’ . PAS, JIM, ABIM, IKRAM, HALUAN, Tabligh, Arqam, Hizbut Tahrir, Jemaah Islamiyah JI semua mengambil pendekatan sama tanpa menjadikannya slogan.
  • Hak kepimpinan & Kepimpinan Islam di Malaysia adalah di tangan Melayu (kerana mereka majoriti Muslim/lebih awal terima Islam/penduduk asak tanah Melayu) – Seorang Presiden Umno dan pernah menjadi PM Malaysia yang zahirnya adalah seorang pejuang Melayu, hakikatnya seorang berkaum mamak. 1 Melayu 1 Bumi yang dicetuskan Dato Zaini antara lain dipimpin oleh seorang yang berkaum Cina, Dr Ridhuan Tee. Bagi kami seorang Cina boleh menjadi PM di Malaysia, dengan syarat seorang Islam yang bertakwa dan cukup syarat2 menjadi pemimpin seperti digariskan Ulama’. Kenyataan Hak Kepimpinan Negara eksklusif untuk satu kaum tempatan ini mirip kepada laungan Puak Saudi (+ Wahabi) ketika menghalau Khilafah Turki Uthmaniyah daripada jazirah arab satu ketika dahulu.
  • Ketuanan Melayu tidak ditolak bahkan dibela – Bagi kami Ketuanan Melayu/Malay supremacy/Siyadatul qaum ‘alal akhar adalah sifat perkauman, rasis. Kalau Melayu tuan, apakah kaum lain hamba? Kami lebih selesa dengan istilah hak istimewa Melayu, atau Kepimpinan Melayu atau seperti diungkap PAS: Islam Memimpin Perubahan.
  • Nasionalisme, Kebangsaan, sayang bangsa sendiri adalah sebahagian daripada Islam – Sayang bangsa sendiri adalah fitrah, benar; cintakan tanah air sebahagian daripada Islam juga benar tetapi menjadikan Nasionalisme akidah perjuangan batil sebagaimana menjadikan demokrasi satu keimanan dan bukan sekadar wasilah.
  • Ada yang mempertahankan MSIB bukan bersifat reaksi/tindakbalas dengan perkembangan semasa malah berpasakkan kajian terhadap Quran dan Sunnah –Kesatuan (seperti yang diiklankan MSIB) sesuatu yang dititikberatkan Islam, betul, tetapi kesatuan yang didasari tauhid, bukan kesatuan yang didasari bangsa sehingga menutup mata kepada kezaliman.
  • Ada yang sehingga menyebut ‘asabiyah tidak mengapa asalkan tidak melakukan kezaliman. – kami tidak pernah jumpa pembahagian ‘asabiyah seperti kepada ‘asabiyah hasanah dan ‘asabiyah dholalah, ungkapan ini hanya mengelirukan umat.
  • Hamas telah bersepakat dengan Fatah sang penzalim/perasuah/pengkhianat mengapa PAS tidak boleh dengan UMNO BN?- ini memerlukan kefahaman tentang tahaluf siyasi dan ketelitian kepada permainan sepak terajang politik. Bahkan PAS  berpengalaman bersepakat dengan UMNO dalam Barisan Nasional, ini satu fakta sejarah. Bahkan sebelum Hamas – Fatah bersepakat mereka pernah bertelagah sehingga bunuh-membunuh dan Palestin terpecah dua, ini perlu difahami mengapa terjadi.
  • Di Indonesia berlaku kerajaan perpaduan yang disertai parti2 termasuk PKS – Idea kerajaan perpaduan pernah diterokai Presiden PAS. Ini memerlukan reformasi politik menyeluruh seperti yang berlaku di Indonesia tahun 90an. Menyedari situasi politik Malaysia yang sama sekali berbeza idea ini tidak praktikal di Malaysia buat masa sekarang.
  • Bagaimana PAS boleh bersepakat dengan DAP tidak berakidah sedangkan UMNO Islam? – Kesepakatan PR bukan didasari tauhid- benar, tetapi didasari kesepakatan menegakkan keadilan dan menentang kezaliman. Menyedari kezaliman UMNO, kesepakatan PAS dengan UMNO hanya kerana sama2 Melayu/ sama2 nama Islam boleh jatuh ‘asabiyah. Perlu disedari akidah (ideologi) UMNO adalah nasionalisme dan Islam ditempel2kan sahaja, sebagaimana ditempelkan Masyarakat Madani, kemudian dibuang, ditempelkan Penerapan Nilai2 Islam kemudian dibuang, ditempelkan Islam Hadhari kemudian dibuang, ditempelkan Islam Sederhana/Moderat/Wasatiyah terkini.
  • DAP kritik pengharaman judi di Kelantan, Cina berbaik2 dengan PAS ada agenda tersembunyi, mustahil mereka saja2 bagi undi – Menganggap satu kaum ancaman bukanlah ajaran Islam tetapi ajaran UMNO. Syak wasangka kepada Cina adalah permainan sentimen UMNO sebagaimana Syak wasangka kepada hukum hakam Perundangan Islam juga dijadikan permainan sentimen Umno.

Idealisme & Realiti

Untuk berlaku adil, satu cadangan MSIB yang kami kira bernas dan boleh diambilkira kepimpinan PAS adalah jiwa besar untuk bersepakat dalam isu2 yang melibatkan Agama dan Bangsa Melayu, yakni dalam isu2 yang melangkaui politicking. Jika inilah intipati MSIB yang dikehendaki ISMA, maka kami ucapkan tahniah kepada kepimpinannya kerana telah mengiktiraf PAS lebih dari sekadar ‘Parti Islam’.

Dunia politik dilihat sebahagian orang sebagai sangat kotor, namun jangan terperanjat sebahagian lagi melihat ahli politik sungguh indah dan baik2. UMNO hari ini telah berjaya melukis potret indah kepada ramai orang Melayu tentang siapa diri mereka; UMNO memperjuangkan kepentingan Melayu dan Mendaulatkan Islam. Minta maaf kami katakan, ISMA dan ahli ISMA mewakili sebahagian besar masyarakat Melayu yang masih dirantai kekolotan pemikiran politik ala UMNO, yang perlu dicelikkan!

Kesatuan dan kesepakatan telah lama diperjuangkan (seperti dalam blog ini). Adalah menjadi satu impian untuk melihat ummah Islam bersatu. Namun realiti di lapangan adakalanya sama sekali berbeza dengan teori2 dan falsafah. “Melayu Sepakat, Islam Berdaulat” adalah satu slogan yang baik sekali imbas, begitu juga “1 Melayu 1 Bumi” yang disokong presiden ISMA. Namun realiti politik Malaysia, kami rasa ISMA perlu mengutamakan kesepakatan dengan Jemaah2 Islam seperti PAS. “1 Gerakan Islam 1 Malaysia”. “Gerakan Islam sepakat, Islam Berdaulat”. Jangan kerana hendak berdikari sendiri akhirnya sedar tidak sedar menjadi buah catur permainan politik UMNO!

Kami sanjung ISMA sebagai satu Jemaah Islam. Kami juga kagum dengan kesungguhan ISMA untuk menegakkan tarbiyah ikhwaniyah di bumi Malaysia. Teks, kitab dan rujukan ikhwaniyah sering diratib2, ucapan pimpinan ikhwan selalu dipetik2 dan dijadikan hujjah.Cuma ingin kami kongsikan, bukanlah disebut orang berilmu itu orang yang banyak maklumat dan kesedaran dan dapat memetik segala teks, kitab dan kata2; akan tetapi orang berilmu itu adalah orang yang dapat mengintegrasikan segala teori, falsafah dengan realiti, situasi semasa!

[Banyak lagi yang boleh disenaraikan tentang sikap/peristiwa/kezaliman yang menghalang PAS daripada bersatu/bersepakat dengan UMNO tetapi ini bukanlah fokus tulisan pada kali ini. Sesungguhnya pengalaman PAS dalam perjuangan menegakkan Islam di Malaysia sangat berharga untuk dikongsikan dengan ISMA.]